PETIKAN MINGGUAN MALAYSIA (KOLUM PROF DR MUHAYA) TOPIK: SIAPA MEMBENTUK IMEJ DIRI KITA (BAHAGIAN 4)


Tiga perkara yang ibu bapa tidak boleh lakukan dalam mendidik anak-anak:-


3) Membanding-bandingkan anak-anak. 

Iaitu membandingkan anak-anak dengan sesama adik-beradik mereka, atau mewujudkan persaingan antara anak kita dengan anak-anak orang lain. Anak-anak yang dididik berlumba untuk mengejar pencapaian keduniaan (menjadi kuda pacuan) untuk ayah dan ibu bermegah-megah dengan pencapaian akademik anaknya, walaupun tidak dinafikan banyak kesan positif, tetapi tanpa disedari telah membina imej diri negatif kepada anak-anak. Kerana anak-anak ini ibarat setandan kelapa, dalam setandan kelapa tidak semuanya elok buahnya.





Maka bagi anak yang mendapat penghargaan daripada ibu bapa kerana pencapaian cemerlang dalam pelajarannya mereka akan turut bermegah sama seperti ibu bapanya, sedangkan anak yang tidak berjaya mencapai hasrat ibu bapanya akan berasa rendah diri, tidak disayangi, dan berasa ibu bapanya pilih kasih. Imej diri negatif kepada anak-anak yang lemah sedang dibina oleh ibu bapa yang membanding-bandingkan kemampuan anak-anaknya.