PETIKAN MINGGUAN MALAYSIA (KOLUM PROF DR MUHAYA) TOPIK: SIAPA MEMBENTUK IMEJ DIRI KITA (BAHAGIAN 2)



Tiga perkara yang ibu bapa tidak boleh lakukan dalam mendidik anak-anak, terutama pada peringkat awal pembesarannya:-

1) melabelkan anak-anak.
Contohnya apabila anak-anak kita tidak mahu berkawan dengan anak-anak tetamu yang datang ke rumah kita, di hadapan tetamu ibu bapa mengatakan anak mereka ini pemalu sangat dan tidak reti bercampur. Maka anak-anak yang mendengar penyataan ibu bapa yang memberikan label negatif kepada diri mereka, akan tertanam mesej negatif itu dalam minda bawah sedar atau minda segar mereka. Akhirnya terbentuklah imej diri seorang individu yang tidak pandai bersosial dan tidak memiliki keyakinan diri apabila mereka dewasa.

Keadaan yang sama juga akan berlaku kalau ibu bapa suka mengatakan anak mereka nakal, jahat, degil, tidak dengar kata dan seumpamanya (perkataan negatif). Berikanlah label yang positif kepada anak, seperti ‘anak yang baik’, ‘anak yang bertanggungjawab’, ‘anak yang rajin’ dan seumpamanya. Oleh sebab itu ibu bapa, kawal emosi dan berkatalah dengan akal bukan dengan emosi apabila berhadapan dengan ragam anak-anak.