RUGI TUJUH RIBU DALAM SAHAM

Mohammad Asraff Ayob
· 
SIAPA NAK DENGAR CERITA SAYA RUGI TUJUH RIBU DALAM SAHAM?



Saya pernah kerugian hampir tujuh ribu ringgit dalam pelaburan saham akibat kurang sabar padahal guru saham sering berpesan ’bila saham turun jangan tengok. Buat tak tahu sahaja. Masa tu, kena telan banyak ’pil sabar’. Jangan risau kerana ia akan naik semula....’


Tetapi saya langgar nasihat emas itu. Setiap hari saya asyik memerhatikan pergerakan saham sahaja. Bila ia turun saya panik. Kurang sabar lalu menekan butang ’buy’ ketika saham sedang rugi. Alasan hendak ’cut loss’.

Akibatnya, tujuh ribu terbang dalam masa dua hari. Saya tepuk dahi, memicitnya walaupun tidak sakit.


Kata guru saham lagi, syarat utama main saham adalah ini :
’Wahai orang beriman, bersabarlah kamu, dan kuatkanlah kesabaran kamu dan bersedialah serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya’. (Surah A’li Imran, 200)


Ayat di atas berkaitan tentang kesabaran ketika menghadapi musuh. Tetapi ia juga relevan dipakai dalam usaha mencari rezeki melalui saham. Anda perlu banyak bersabar. Bukan setakat sekali tapi gandakannya berkali-kali. Jika ia kuat tertanam barulah anda berjaya.


Saya telah melanggar syarat sabar sekali. Akibatnya rugi. Tidak cukup sekali, saya langgar lagi arahan ayat di atas untuk gandakan kesabaran. Sehari selepas saya menjual keseluruhan saham, tiba-tiba ia naik meroket semula.


Saya tepuk dahi kali kedua. Kali ini gigi mengetap kegeraman. Kecewa dan marah mula menguasai diri kerana rasa rugi yang amat sangat bila mendapati saham naik semula. Saya mula hilang pertimbangan dan menyalahkan keadaan, ’itulah siapa suruh main saham? Kan dah rugi!’
Guru juga disalahkan, ’Menyesal masuk seminarnya bayar beribu! Cakap main saham untung tapi ini dah rugi tujuh ribu!’.


Bila benteng sabar sudah pecah, mencurah-curahlah masuk segala keladak kemarahan & kekecewaan. Segala aura positif hilang. Anak di rumah pun dimarahi. Isteri yang cuba memahami keadaan turut ditegur. Dari mencari rezeki positif, akhirnya semua bertukar negatif. Emosi saya tidak terarah, duit hilang, anak menangis, isteri pula sedih ditegur.
Itulah akibatnya bila kesabaran sudah tiada, saya rugi bukan setakat tujuh ribu ringgit, tetapi keladak marah, menyalahkan & fikiran negatif mula menguasai hati. Ia sudah dikotori akibat ’pengawal’ sabar hilang.


Hilang duit tidak mengapa. Bagaimana kalau hilang keluarga? Contohnya, anda kurang sabar ketika memandu lalu kemalangan yang mengakibatkan anak meninggal. Menyesal tak sudah dibuatnya.
Anda kurang sabar ketika berbalah dengan isteri lalu terkeluar kata ’cerai’. Isteri pula tidak mahu rujuk. Pasti sampai sekarang anda menyesal.


Anda kurang sabar ketika belajar. Tidak tekun mengulangkaji pelajaran kerana terpengaruh dengan rakan yang suka melepak. Pasti sampai sekarang anda merana dengan masa depan yang tidak stabil.
P.S : enri ini adalah sebahagian dari 'The power of Sabar' dari buku 21S, cara mencuci kolam hati. Sikiiiit je lagi siaplah. Nanti sy akan maklumkan bila ia dilancarkan. Siapa mahu tandatangan dari penulis (saya le tu) tlg komen 'ana' dibawah. Nanti sy akan pm anda personally bila ia dilancarkan, insyaAllah.


Us Asraff Ayobb
patutlah Tuhan bnyk kali ulangi kata sabar. Rupanya ia formula kejayaan. Ia adalah power. Bacalah Quran betul2, hidup anda akan power juga, sbb 'charger'nya dtg dari 'Maha power'. Jika nak belajar Quran dari sy, layari www.tigaseminar.com